Selangor Lindungi Penjawat Awam Dari Brainwash BTN

Dalam usaha melindungi penjawat awam Selangor dari tarbiyah ekstrem Biro Tata Negara, kerajaan negeri menghentikan penyertaan pegawai agensi kerajaan negeri dan penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri dari menyertai kursus biro itu.

Exco Pendidikan Dr Halimah Ali berkata keputusan ini berkuatkuasa serta merta hari ini selepas siasatan mendapati tarbiyah yang diterapkan BTN mengajak kepada perpecahan dan ketegangan kaum.

“Mereka yang telah melalui kursus Biro Tata Negara ini kebanyakannya adalah satu proses indoktrinasi oleh Kerajaan Barisan Nasional dan ia menimbulkan satu fenomenan yang agak perkauman, di mana ia seolah-olah ingin memecahbelahkan di antara penduduk-penduduk yang pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini”, jelas Dr Halimah.

Terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, BTN menawarkan kursus bina jati diri kepada penuntut universiti dan penjawat awam.

BTN diwujudkan bagi menanam semangat cintakan negara, namun umum kini melihat biro itu tidak lebih dari unit propaganda BN.

Minggu lalu, tujuh wakil rakyat Pakatan menggesa kerajaan Selangor menghalang kerahan anak-anak murid ke program tarbiyah BTN.

Bercakap dari pengalamannya sendiri, Adun Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peserta kursus diajar mengenai Ketuanan Melayu, PKR ejen Yahudi, DAP proksi Singapura dan Pas gerakan ajaran sesat.

Antara institusi pengajian tinggi milikan kerajaan negeri ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS.

“Kita akan memberikan satu surat arahan formaliti kepada institusi-institusi yang telah saya sebutkan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor bersama dengan IPT tentang perkara yang saya sebutkan tadi”, tegasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter