SPR Perlu Berhenti Menjadi Kuda Tunggangan UMNO BN




Badan Pemantau Pilihanraya Malaysian for Free & Fair Election atau MAFREL dan gabungan Pilihanraya Bersih & Adil atau BERSIH, menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pilihanraya untuk meminda undang-undang menghalang wakil rakyat dari "berhenti" atau "diberhentikan" sebagai melampaui bidang kuasanya.

BERSIH berkata perletakan jawatan wakil rakyat adalah lumrah dan SPR sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada reformasi sistem pilihanraya seperti mengemaskini daftar pengundi dan perlaksanaan dakwat kekal dan bukan mencampuri urusan parti politik.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, soal peribadi dan masalah dalaman parti tidak harus dijadikan alasan untuk berhenti daripada menjadi wakil rakyat.

Kata Wan Ahmad sudah tiba masanya peruntukan undang-undang sedia ada dikaji semula bagi mengatasi budaya sengaja mengosongkan kerusi yang disandang disebabkan oleh faktor calon sendiri, masalah dalam parti ataupun semata-mata untuk menguji populariti seseorang dapat dielakkan.

Bercakap seperti seolah-olah beliau seorang perdana menteri, situasi politik sudah berubah dan tidak harus dibiarkan ada pihak yang menyalahgunakan kekurangan lunas perundangan ini untuk sengaja menyebabkan kekosongan.

Ramai penganalisis politik berpendapat bahawa kenyataan Wan Ahmad berkenaan adalah sebagai satu kenyataan yang condong kepada membela parti kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa semata-mata kerana kejadian Ahli Parlimen Permatang Pauh dan ADUN Bukit Selambau dan Penanti dari Pakatan Rakyat meletakkan jawatan.

Sebelum ini SPR dibidas kerana mahu menghadkan parti-parti politik daripada membawa penyokong yang terlalu ramai pada hari penamaan calon dan hari pengundian.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi nyata tidak bersetuju dengan cadangan tersebut serta menyifatkan langkah mengehadkan kehadiran jumlah penyokong calon-calon yang bertanding adalah tidak praktikal.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, syor sedemikian adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana sesebuah parti politik yang terlibat juga sukar untuk menyekat kahadiran ahli dan penyokong mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disaran mengadakan persidangan meja bulat membabitkan kesemua parti politik negara ini untuk memperkenalkan pembaharuan dalam undang-undang pilihan raya.

"SPR mesti memperlihatkan kebebasan, tidak berat sebelah dan profesionalisme serta mengadakan persidangan meja bulat yang disertai semua parti untuk memperkenalkan pembaharuan terhadap undang-undang pilihan raya dan sistem pemilihan bagi membolehkan rakyat bangga dengan sistem pilihan raya yang bebas, bersih dan adil," kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini.

http://greenboc.blogspot.com/

 
Load Counter